“Kita wajib bersifat berani mengakui, realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan berulang kali teguran yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara,” itu titah tegas Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Baginda daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika melancarkan buku Korupsi dan kemunafikan dalam politik Melayu oleh sarjana M Kamal Hassan. di Shah Alam hari ini.

Tamat