Semalam Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) menjelaskan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak telahpun mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut kini dalam keadaan baik dan kini dihantar semula ke Penjara Kajang.

“Adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

“Hasil pemeriksaan terkini yang telah dilakukan terhadap beliau oleh pakar perubatan rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh jurupulih perubatan fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri,” menurut pusat berkenaan semalam.

Pada masa sama, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menjelaskan Najib dipindahkan ke HRC dari HKL kerana memerlukan perkhidmatan fisioterapi.

Khairy menegaskan Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan sebarang layanan istimewa.

Menjadi amalan jabatan kesihatan tidak boleh mendedahkan butiran mengenai keadaan perubatan Najib kerana protokol kerahsiaan pesakit.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Tamat