Pastinya seluruh rakyat Malaysia gembira melihat wajah Bella, dianggap sebagai yang kelihatan ceria, tersenyum riang serta tubuhnya kembali berisi berbanding tahun lalu ketika tular videonya dalam keadaan menyedihkan.

Dilihat kini Bella sebagai puteri kesayangan rakyat Malaysia apabila memakai gaun biru dengan watak Elsa tampil lebih berani untuk menuntut haknya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Bella tampil memegang magic stick, memakai gaun biru bermanik mutiara, bersarung tangan biru dan tiara di atas kepala yang bertudung biru, membuatkan gadis itu kelihatan manis.

Mona Din, aktivis yang memperjuangkan kes Bella, menyifatkan kehadiran Bella seakan ditunggu-tunggu semua tambah lagi dilihat keyakinannya apabila berhadapan dengan orang ramai.

“Dan masa tu sebaik saya angkat muka tengok luar, kelihatan seorang princess sedang berjalan masuk. Adik Bella.

“Oh subhanallah, Bella pakai crown dengan gaun Frozen animasi kesukaannya. Akhirnya, bukan hanya dapat melihat Bella tetapi juga mendekatinya. Menyerahkan sendiri sepasang kurung pink itu kepadanya, memeluknya, mencium lembut pipinya.

“Sungguh saya menahan air mata. Keep strong Bella. Auntie sayang Bella. Hanya itu yang sempat saya bisikkan kepada Bella,” kata Mona Din di Facebook beliau. Aktivis itu mempunyai seorang anak istimewa seperti Bella.

Rata-rata pengikut Facebook Mona Din berasa gembira dengan penampilan Bella.

Bella, 13, yang didakwa menjadi mangsa mangsa pengabaian dan penganiayaan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali hadir ke mahkamah sebagai saksi pendakwaan.

Prosiding membabitkan saksi pendakwaan ke-18 itu dibuat secara tertutup dan hanya boleh dilihat hakim, pihak pendakwaan dan peguam melalui rangkaian secara langsung.

Bella ditempatkan dalam sebuah bilik dengan ditemani seorang perantara yang juga doktor psikilogi dari Jabatan Peguam Negara dan seorang peneman dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang prosiding dijalankan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon supaya perbicaraan kes dijalankan secara tertutup memandangkan saksi adalah mangsa dalam kes berkenaan.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tamat