Pastinya satu pengalaman baru buat 12 murid Tadika Ummiku Sayang apabila diselamatkan anggota bomba dan turut menaiki jentera berkenaan untuk ke kawasan yang lebih selamat.

Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohamad Faiz Suleiman berkata, sepasukan 9 anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.30 pagi.

Menurut beliau, semua mangsa termasuk kanak-kanak berusia 7 bulan hingga 6 tahun bersama 5 orang guru berjaya dibawa keluar dari kawasan itu dengan menggunakan sebuah jentera bomba dan satu kenderaan pelbagai guna jam 9.40 pagi.

Pegawai Bomba Kanan II Nazarudin Yusof berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi selepas Pusat Gerakan Operasi negeri menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi tadi.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, PKO bertindak menjalankan operasi penyelamatan dan memindahkan mangsa yang terperangkap dalam banjir ke kawasan selamat iaitu di sebuah restoran makanan segera McDonald’s Nong Chik terletak kira-kira 550 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ihsan Johor Farah Faridah Baptist berkata pihaknya turun padang membantu menyelamatkan kanak-kanak terperangkap berusia antara dua hingga enam tahun itu sebelum ditumpangkan di tadika sama di cawangan Larkin.

“Ketika kejadian, kita menghantar peralatan dan pengangkutan bagi membantu membawa keluar kanak-kanak dan guru terjejas. Air naik di tadika itu sehingga paras lutut. Kesemua mereka kini ditempatkan sementara di sebuah lagi tadika di Larkin,” katanya yang menerima laporan pada 9.50 pagi.

Tamat