Masih lagi terasa bahang duka buat seluruh umat Islam di seluruh dunia selepas Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang dilaporkan meninggal semalam, oleh itu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Hakimah Mohd Yusoff mengambil pendekatan untuk melakukan solat jenazah ghaib kepada ulama berkenaan.
Solat jenazah ghaib ke atas ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi akan diadakan secara serentak di tiga masjid utama negara selepas solat isyak malam ini.
Solat jenazah ghaib itu akan diadakan di Masjid Negara, Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.
Pada masa sama, beliau berkata Jakim turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara agar turut sama mengadakan solat jenazah ghaib buat Almarhum.
“Semoga jenazah Almarhum diampunkan dan dirahmati oleh ALLAH SWT jua,” katanya.
Sheikh Yusuf al-Qaradawi, 97, meninggal dunia di Qatar pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik akaun Twitter rasminya semalam.
Jakim menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu semalam dan pemergiannya merupakan suatu kehilangan yang amat besar buat dunia.
“Jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia,” kata Hakimah.
Beliau berkata kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Sheikh Yusuf al-Qaradawi atas jasa dan sumbangan beliau sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada 1431H bersamaan 2009M.
Tamat