Riyadh: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz memilih dua puteranya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu.
Raja Salman bertitah, baginda menamakan puteranya yang juga Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai perdana menteri kerajaan dan putera keduanya, Putera Khalid sebagai menteri pertahanan.
Titah baginda, rombakan itu turut mengekalkan seorang lagi anak lelakinya, Putera Abdulaziz Salman sebagai menteri tenaga, lapor agensi berita negara SPA.
Titah berkenaan turut menunjukkan Menteri Luar Putera Faisal Farhan Al Saud, Menteri Kewangan Mohammed al-Jadaan dan Menteri Pelaburan Khalid al-Falih kekal dengan jawatan mereka.
Putera mahkota, dikenali sebagai MBS dinaikkan pangkat daripada menteri pertahanan dan menjadi pemerintah de facto Arab Saudi iaitu negara pengeksport minyak terbesar dunia dan sekutu utama Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah.
Pegawai Arab Saudi berkata, peranan baharunya sebagai perdana menteri adalah selaras dengan delegasi tugas raja sebelum ini, termasuk mewakili kerajaan dalam lawatan asing dan mempengerusikan sidang kemuncak yang dianjurkan kerajaan.
Sebelum ini Mohammed turut dikecam kerana mengubah Arab Saudi secara radikal sejak berkuasa pada 2017 termasuk mengetuai usaha untuk mempelbagaikan ekonomi daripada bergantung sumber minyak kepada membolehkan wanita memandu dan mengekang termasuk kuasa ulama.
Pembaharuan beliau, bagaimanapun, datang dengan tindakan keras terhadap perbezaan pendapat dengan aktivis, kerabat diraja, aktivis hak wanita dan ahli perniagaan dipenjarakan.
Pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di konsulat kerajaan di Istanbul pada 2018 mencemarkan reputasinya dan merenggangkan hubungan kerajaan dengan AS dan sekutu Barat yang lain.