Bulan Rabiulawal adalah antara bulan yang tercatat detik yang bersejarah bagi umat Islam sejagat. Kedatangan bulan mulia itu amat dinanti-nantikan dan sentiasa diingati oleh masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan umat Islam di seluruh dunia amnya kerana tanggal 12 haribulan dalam bulan inilah junjungan besar Rasulullah diputerakan.
Hari peringatan ini turut dikenali Maulidur Rasul disambut sebagai satu bentuk kesyukuran terhadap rahmat Allah yang telah mengutuskan Rasul yang merubah suasana dan keadaan hidup manusia sejagat ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Oleh itu pelbagai program berbentuk kerohanian mahupun kemasyarakatan seperti pembacaan qasidah, selawat, berzanji, perarakan dan lain-lain lagi dirancang untuk menzahirkan rasa syukur umat Islam kepada Allah SWT atas kelahiran insan agung dan mulia ini.
Itu yang dilakukan di Program Tausiah Murabbi dan Perasmian Penutup Ijtimak Pondok Se-Malaysia di Pondok Kandis semalam.
Menteri Hal Ehwah Agama Islam, Datuk Idris Ahmad berkata, institusi pengajian pondok perlu dipertahankan kerana ianya merupakan kunci kesejahteraan ummah di Malaysia.
“Kita sedar pondok ini adalah benteng aqidah dan umat Islam. Oleh itu, peranan kita perlu pertahan dan perkukuhkan institusi pondok agar kekal utuh menjadi kilang melahirkan orang-orang alim dan ulama.
“Institusi pondok amat dekat di hati saya. Saya dan abang-abang saya lahir daripada institusi pondok. Suasana majlis ilmu di pondok sangat dirindui, masih teringat rutin setiap hari bermula dengan bangun di awal pagi, diajar pula untuk menghormati ilmu dan para guru.
“Jika anak-anak yang ada depan saya ini tidak mempersiapkan diri dengan ilmu dan akhlak mulia, maka suatu hari nanti tiada lagi Institusi Pondok di negara kita,” katanya.
Selain itu hasil Ijtimak Pondok Se-Malaysia semalam telah mengangkat beberapa resolusi yang penting berkaitan institusi pondok dan juga kesejahteraan ummah ini.
Tamat