Di dalam sebuah institusi rumahtangga, tidak akan terkecuali daripada timbulnya pelbagai permasalahan serta konflik yang boleh menjerumus kepada perceraian.
Konflik yang berlaku sememangnya sangat memberikan kesan kepada emosi, psikologi tingkahlaku dan pemikiran pasangan suami isteri termasuk semua individu yang ada di sekeliling mereka. Dengan itu, suami atau isteri tersebut lazimnya akan membuat keputusan untuk melepaskan ikatan perkahwinan.
Namun begitu, dalam membuat sebarang tindakan yang besar dalam hidup ini, adalah amat penting untuk mengenalpasti jenis-jenis perceraian yang ada supaya tindakan kita adalah tepat. Oleh itu, jenis-jenis perceraian di dalam Islam dan juga undang-undang adalah seperti berikut:

1) Perceraian dengan Talaq – Seksyen 47 dan 48 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Perceraian ini bermaksud persetujuan pihak-pihak untuk bercerai atas alasan wujudnya perbalahan yang berpanjangan serta tidak wujud lagi persefahaman. Di dalam proses kes ini berjalan, jika terdapat pihak yang tidak bersetuju atau wujudnya kemungkinan untuk berbaik, Mahkamah lazimnya akan mengarahkan pihak-pihak menjalani proses kaunseling dengan Pejabat Agama Islam.
Oleh itu, jika pihak-pihak berjaya berdamai, maka kes akan ditutup namun jika berlaku sebaliknya, suami atau wakil suami yang dilantik oleh Mahkamah akan diberikan kebenaran untuk melafazkan talaq terhadap si isteri dengan talak satu.
2) Perceraian Ta’liq – Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.

Maksud cerai ta’liq ialah lafaz cerai yang dikaitkan dengan suatu janji yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah disempurnakan. Pada lazimnya, ta’liq tersebut menyebut antara lain “..sekiranya suami meninggalkan isteri lebih daripada tiga bulan tanpa memberi nafkah zahir atau batin secukupnya”; atau “sekiranya suami memukul atau mendera isteri atau mendatangkan mudarat kepada isterinya”.
Isteri yang ditinggalkan atau dicederakan seperti di atas boleh mengadu kepada Mahkamah Syariah di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggalnya dan sekiranya pengaduan itu sabit dan disahkan oleh Mahkamah, maka terjadilah perceraian secara ta’liq.
3) Perceraian Fasakh – Seksyen 52 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Perceraian fasakh bermakna pembatalan atau pembubaran perkahwinan antara suami isteri melalui perintah Mahkamah. Seseorang isteri/suami boleh membuat permohonan cerai fasakh kepada Mahkamah, antara lain, atas alasan seperti yang berikut:-
(a) suami/isteri telah menghilangkan diri tanpa diketahui di mana berada selama tempoh lebih daripada setahun;
(b) suami/isteri telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri dan anak-anak selama tempoh 3 bulan;
(c) suami/isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) suami/isteri tidak menunaikan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah selama tempoh satu tahun;
(e) suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) suami/isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang menghidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) isteri telah dikahwinkan oleh bapa atau datuknya sebelum ia mencapai umur enam belas tahun, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur 18 tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu; dan
(h) bahawa suami/isteri telah membuat penganiyaan.

4) Perceraian tebus talak (khul’) – Seksyen 49 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Perceraian tebus talak atau khul’ ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri kepada suami dengan memberi wang atau harta benda lain kepada suaminya sebagai tebus talaq tersebut.
Perceraian ini adalah jenis bain sughro iaitu tidak boleh dirujuk kembali. Jika pihak-pihak berhasrat begitu, maka perlu kepada akad serta mas kahwin yang baru.
5) Perceraian di Luar Mahkamah – Seksyen 55A Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984.
Perceraian ini sering terjadi kepada pasangan yang terlalu gopoh dan amarah ketika dalam konflik perbalahan rumah tangga. Suami akan bertindak untuk terus melafazkan cerai dihadapan isterinya malah sekadar menghantar pesanan SMS dan Whatsapp.
Perceraian ini mengakibatkan suami/isteri atau kedua-duanya terpaksa datang ke Mahkamah Syariah untuk memohon kepada Mahkamah suatu Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai. Mahkamah akan meneliti sama ada suami benar-benar telah menjatuhkan talak atau tidak untuk sabitkan perceraian tersebut.

Tidak dinafikan dalam keadaan emosi yang sangat tertekan adalah amat sukar untuk bertindak secara waras dan betul. Namun begitu bagi yang mengalami situasi ini, bersabar dan bertabahlah. Kuatkan diri serta yakin bahawa Tuhan sendiri berjanji tidak menguji anda kecuali dengan tahap kemampuan hambanya. Tambahan lagi, ujian-ujian yang besar beginilah yang menjadikan anda lebih kuat jika berjaya ditempuh. Sekian.