Kata putus daripada Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin menunjukkan kesepakatan semua parti komponen dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, penggunaan logo selain PN mungkin boleh digunakan di sesetengah kawasan dan ia melibatkan perbincangan terbuka antara pemimpin komponen parti dalam gabungan tersebut.

“Saya nak jelaskan, tidak ada rahsia amtara kami dalam PN. Kalau saya buat sesuatu, saya kembali dan melaporkan secara terperinci apa yang sudah saya lakukan.

“Tiada apa untuk disorokkan, saya nak tunjukkan keikhlasan pimpinan PN untuk sama-sama berbincang hal-hal yang ada kepentingan bersama,” katanya semalam.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata pihaknya kini telahpun menubuhkan jawatankuasa manifesto untuk merangka tawaran kepada rakyat dalam PRU15.

Manifesto tersebut merangkumi semua aspek untuk kepentingan rakyat dan negara dengan mengambil kira situasi serta keadaan selepas pandemik Covid.

“Ia mengandungi semua perkara penting yang kita janji dan nak laksanakan untuk kepentingan rakyat dengan mengambil kira situasi dan keadaan selepas pandemik, masalah ekonomi yang agak merosot serta bantuan prihatin.

“Jawatankuasa kita dah sedia tapi saya menunggu bila akan dibentangkan pada Jawatankuasa Induk Perikatan Nasional,” katanya.

Tamat