Adalat Ali atau Keadilan Ali dipercayai bertindak sebagai kumpulan penggodam stesen penyiaran milik kerajaan Iran ketika siaran berita ditayangkan sebagai protes kepada kepimpinan negara berkenaan.

Menggunakan imej topeng ala Vandetta, mereka mengedit photo Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dengan imej api di sekelilingnya.

Ketika insiden tersebut, sebuah program berita terganggu sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) ketika imej Ayatollah Ali dipaparkan di samping lambang berbentuk sasaran tembakan.

Turut dipaparkan adalah gambar Mahsa Amini dan tiga wanita lain yang terbunuh dalam siri protes membantah kematian gadis berkenaan ketika berada dalam tahanan polis Iran.

Salah satu keterangan gambar itu berbunyi: “Sertai kami dan bangkit”, manakala satu lagi bertulis: “Darah belia kami menitis dari kaki anda”.

Insiden yang melibatkan pemberontakan terhadap Ali Khamenei jarang-jarang berlaku sebelum ini kerana beliau hampir berkuasa sepenuhnya di Iran.

Perbezaan pendapat secara terbuka bagaimanapun jelas ditonjolkan selepas kematian Mahsa yang mencetuskan kemarahan di seluruh Iran termasuk beberapa negara di seluruh dunia.

Tamat