“Keadaan dan peraturan masih sama… jadi selagi beliau masih menjalani hukuman dalam penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” itu jelas Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhammad berkenaan Najib Razak.
Selagi Najib masih menjalani hukuman itu, beliau tidak dibenarkan keluar berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan sentiasa tertakluk kepada akta dan peraturan semasa beliau menjalani hukuman penjara.
Pendirian pihak penjara itu jelas sekiranya ada permohonan daripada penyokong Najib agar penyandang kerusi Parlimen Pekan itu diberi kebenaran khas untuk keluar berkempen pada PRU15.
Bagaimanapun, Nordin berkata selain permohonan untuk menghadiri sesi sidang Parlimen yang telah ditolak, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan lain daripada bekas Perdana Menteri itu.
Beliau turut mengulangi bahawa Najib tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa sepanjang menjalani hukuman penjara seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Nordin berkata Najib sama seperti banduan lain yang tertakluk kepada peraturan dan Akta Penjara selain prosedur operasi standard jabatan itu.
“Kami memberi layanan yang sama kepada semua penghuni di sini dan tiada istilah pilih kasih kepada banduan di sini,” katanya.
Tamat