“Hati-hati dan sentiasa alert dengan info penting pihak berkuasa. Semoga Allah lindungi kita semua daripada bencana banjir buruk,” itu peringatan dari Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam.

Menurutnya berdasarkan trend semasa paras air di Lembangan Sungai Melaka di Langkawi, Kedah setakat pukul 1 tengah hari kelmarin menunjukkan trend menaik dengan satu daripada stesen sungai telah mencapai paras bahaya.

Berdasarkan perkongsian di Facebooknya berkata, stesen sungai yang mencapai paras bahaya ialah Stesen Sungai Melaka di Bukit Kemboja dengan paras air mencecah 8.91 meter.

Dua lagi stesen sungai yang mencapai tahap amaran ialah di Stesen Empangan Padang Saga dengan paras air mencecah 20.10 meter, manakala Stesen Sungai Melaka di Padang Matsirat mencecah 3.40 meter.

“Kawasan Perlis dan sebahagian kawasan di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap. Saya difahamkan beberapa kawasan di utara Semenanjung telah hujan sejak malam dan awal pagi tadi. Beberapa stesen mencatatkan aras air sungai melebihi tahap BAHAYA.

“Setakat pukul 12 tengah hari, stesen hujan di Kuala Nerang, Padang Terap mencatatkan 31.5mm dalam tempoh 1 jam (AMARAN). Saya doakan agar kita semua dilindungi Allah daripada bencana banjir. Aameen. Insya-Allah,” katanya lagi.

Tamat