“Saya kena hantar pemakluman peletakan jawatan Exco kepada kepada Sultan dan perlu mohon perkenan untuk membuat penggantian, kemudian saya kena memohon perkenan Tuanku nama ini bagi menggantikan beliau (Suraya),” itu ulas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya pihak kerajaan negeri akan mempersembahkan nama calon Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam masa terdekat bagi menggantikan jawatan Exco yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.
“Pelantikan Exco ini bukanlah rumit tapi dia ada langkah-langkah dia. “Selepas mendapat perkenan Sultan, saya kena cari tarikh untuk angkat sumpah. Proses itu dia akan berjalanlah.
“Saya harap sempat sebelum sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) (dijangka hujung bulan ini) dan kalau dia tak sempat, selepas sidang Dun. Masa sidang Dun kalau Exco tu tak ada lagi saya jawab soalan berkaitan portfolio berkenaan,” katanya.
Suraya sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri dalam kenyataan media pada Khamis lalu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco Kedah berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa sama, Muhammad Sanusi berkata, calon yang bakal menggantikan Suraya itu bukan dari Umno berikutan Umno tidak lagi bekerjasama dengan Pas.
Tamat