Terkini dalam usaha memakmurkan Malaysia melalui Pilihan Raya Umum Ke-15 Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor mengingatkan para pengundi supaya menolak calon pemimpin yang memperjuangkan maksiat seperti pendukung lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurutnya ianya sebahagian daripada syariat Allah supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya kemungkaran dan maksiat yang mengundang bala.

Sekiranya golongan LGBT, sekular, dan liberal ini diangkat sebagai pemimpin pastinya maksiat akan berleluasa di atas bumi Malaysia ini, seperti perayaan Oktoberfest pesta minum arak, hari kekasih dan sebagainya.

“Pilihlah calon yang amanah, punyai integriti, tidak rakus kepada harta benda dan tidak mengambil kesempatan ke atas jawatan dan kedudukannya untuk menimbun kekayaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan pengundi sewajarnya memilih pemimpin yang cakna akan kepentingan masyarakat dan prihatin kepada kesusahan mereka tanpa mengira latar belakang etnik dan agama.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa gabungan ataupun adunan pemimpin muda dan senior perlu dilakukan serentak berikutan masyarakat sangat memerlukan sumbangan kedua-dua pemimpin tersebut.

“Golongan senior mempunyai pengalaman yang luas, kematangan fikiran, kebijaksanaan, ketenangan dalam menghadapi cabaran dan kekusutan, berpandangan jauh di samping mendapat penghormatan masyarakat.

Sementara golongan muda pula ada keistimewaan juga yang mesti diakui dan dimanfaatkan untuk kebaikan dan kemajuan negara.

Antara lain, golongan muda memiliki semangat juang yang kental, ambisi tinggi, kekuatan tekad dan azam. Mereka juga mempunyai kekuatan tenaga fizikal dan sentiasa bersedia berbakti serta berkorban demi negara dan bangsa dengan menjulang tinggi prinsip yang diyakini.”

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan bagaimanakah Islam mengangkat pemimpin muda tanpa meminggirkan pemimpin senior menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tamat