“Apa yang dibawa PH hanyalah sekadar retorik kosong semata-mata mahu meraih populariti dalam kalangan anak muda. Namun, anak muda kini celik mata, menolak PH berdasarkan track record yang ada. Track record PH hanya memperkudakan MUDA bagi mendapat simpati anak muda,” itu kata daripada Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Abdul Rahman Faudzi.

Menurutnya kemana turunnya kuah kalau tidak ke nasi, itu antara yang dapat digambarkan bagaimana MUDA yang sebenarnya hanya menjadi bayangan DAP dalam mengaburi mata anak muda.

Hakikatnya wujud dari roh dan semangat Pakatan Harapan (PH) di mana parti baharu yang kononnya sebagai wadah anak muda itu tidak dapat berselindung dari turut membawa genetik dan mengamalkan ideologi bapanya, DAP.

Wujudnya MUDA hanya untuk menjadi alat kepada pihak lain yakni PH khususnya DAP, tanpa membawa perjuangan benar untuk rakyat dan negara.

MUDA yang sibuk bercakap soal ketelusan juga jelas hanya beretorik dan cakap kosong apabila pimpinan utama parti itu juga tidak mempunyai integriti apabila terpalit pertuduhan pecah amanah.

“Hampir semua anak muda mendengar perintah Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Bukannya jumlah yang sedikit, tapi bernilai RM1 juta. Ini memalukan hingga budaya pecah amanah ini bagaikan sudah terbiasa dalam medan politik. Kononnya membawa suara anak muda yang telus, tetapi sebaliknya tidak jujur.

“Hanya PAS kini terbukti membawa ketelusan dan berdasarkan rekod pemerintahan di tiga negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu,” ujar beliau menyifatkan retorik, cakap kosong dan terbabit kes rasuah, penipuan dan salah guna kuasa telah sebati dengan PH.

Sebelum ini Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Muar diarah untuk membela diri terhadap dalam empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Tamat