Nak letakkan calon DAP untuk Jerai memang sengaja mencari nahas kerana pastinya bahtera PH dijangka karam lebih awal.
Bekas Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Mohd Zawawi, berkata konflik PH di negeri ini berpunca apabila pimpinan parti itu memutuskan melakukan pertukaran kerusi bersama DAP.
Menurutnya, proses pertukaran membabitkan penyerahan kerusi Parlimen Jerai kepada DAP dan Alor Gajah diserahkan kepada AMANAH tidak pernah dibincangkan pada peringkat negeri dan hanya diketahui pada awal bulan ini.
“Mengikut rundingan awal antara AMANAH dan PKR di Kedah, PKR akan bertanding sembilan kerusi dan baki enam kerusi akan ditandingi AMANAH.
“Bagaimanapun, tiba-tiba DAP menuntut Baling dan Jerai menyebabkan AMANAH dan PKR membuat pendirian bahawa belum tiba masanya DAP melebarkan sayap ke kawasan luar bandar majoriti Melayu.
“Ini kerana sejak sekian lama, AMANAH berdepan masalah apabila dituduh menjadi kuda tunggangan dan barua kepada DAP, jadi akan sukar sekiranya calon DAP bertanding di Jerai,” katanya tadi.
Menurutnya DAP terus membuat tuntutan kerusi Parlimen apabila mengatakan mereka mempunyai pemimpin Melayu sehingga berlaku rundingan pada peringkat pucuk pimpinan PH.
“Kami berpendapat di Kedah yang mempunyai kira-kira 75 peratus pengundi Melayu, mereka ada persepsi dan sentimen tidak boleh menerima DAP.
“Sedangkan AMANAH banyak bergantung kepada undi Melayu di Kedah. Isu ini akan memberi kesan kepada prestasi parti bukan saja di Kedah tetapi juga di seluruh negara pada pilihan raya kali ini.
“Kita yang sebenarnya memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menyerang AMANAH dalam isu ini dan mereka akan membuat pelbagai tuduhan negatif kepada PH.
“Tetapi berikutan tindakan pimpinan atasan, saya dan kumpulan kami tidak akan menyertai PRU15 dan terpulang kepada penyokong AMANAH mahu mengundi PH atau tidak,” katanya.
Tamat