Kecoh apabila Annuar Musa mengesahkan dia sebagai penyandang Parlimen Ketereh langsung tidak dijemput majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.

“Ya, ada 12 nama kena ‘pancung’ termasuk nama saya, itu saya akui dan saya tak nafikan, buat apa kita bersembunyi. Tetapi saya okay saja, tiada masalah kerana mereka (parti) masih berunding, saya tak mahu mendahului parti,” katanya.

Mengulas senarai nama Ahli Parlimen yang digugurkan tersebar, beliau mengakui namanya antara 12 yang tersenarai.

Menurutnya pendiriannya kekal tidak melobi atau merayu jika tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh pada PRU15.

“Pesan saya, jangan panik, jangan gelabah seolah-olah jadi calon itu adalah segala-galanya sebab kalau kita nak sesuatu tetapi tak dapat…jiwa akan sakit.

“Kalau parti tak bagi atau presiden tak bagi itu proses yang semua orang kena lalui takkan kita nak jadi Ahli Parlimen selama-lamanya. Kita kena terimalah,” katanya.

“Pendirian saya, saya tidak akan melobi, tidak akan meminta-minta, tidak akan merayu…kita serah bulat-bulat pada parti.”

Tamat