“Takkan rakyat nak pilih Perdana Menteri yang ulang-alik mahkamah. Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang terkenal sebagai banduan,” itu persoalan yang dilontarkan daripada Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya sepanjang rekod pemerintahan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun dan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, kedua-dua pimpinan parti ini semua terbabit kluster rasuah.
Najib dipenjarakan, Zahid Hamidi juga dituduh di mahkamah, sama seperti Lim Guan Eng dan Presiden MUDA, Syed Saddiq semuanya mempunyai rekod rasuah dan penggubahan wang haram.
“Takkan rakyat nak pilih pemimpin yang tak tahu ke mana hala tuju negara nak dibawa. Kita dah tahu bagaimana pemerintahan BN dan PH.
“Rakyat sekarang menanti-nanti kepimpinan PN untuk menerajui negara pada masa depan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pengumuman Bakal Calon PN PRU15 di sini, hari ini.
Ucapan Tuan Ibrahim yang menyentuh mengenai calon Perdana Menteri ‘berulang-alik ke mahkamah’ dipercayai merujuk pada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan pertuduhan rasuah.
Sindiran ‘banduan’ pula dipercayai merujuk pada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani hukuman penjara pada 2015 selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, sebelum dibebaskan pada 2018 selepas PH menang PRU14.
Tuan Ibrahim menegaskan rakyat perlu memilih nakhoda negara dalam kalangan tokoh kepimpinan yang bersih dan menentang rasuah, salah guna kuasa, kezaliman dan penyelewengan.
“Kita nobatkan (Pengerusi PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tokoh kita untuk menerajui masa depan,” katanya.
Tamat