DAP ini merupakan sebuah parti yang mendukung perjuangan sekular, bercita-cita mahu mewujudkan sebuah Malaysia yang sama-rata, tiada beza antara kaum dan agama, iaitu sebagaimana terkandung dalam gagasan ‘Malaysian Malaysia‘ yang dicipta mereka legasi dari mendiang Lee Kuan Yew.
Cita-cita perjuangan ini walaupun tampak adil dan saksama pada kaca mata Barat, ia sesungguhnya cuba merombak dan menghapuskan kontrak sosial yang sedia terjalin, yang terlakar dalam lipatan sejarah negara apabila penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu bersetuju dengan rela hati berkongsi bumi bertuah ini dengan kaum pendatang Cina dan India yang dibawa masuk penjajah Inggeris, memberikan mereka kerakyatan dengan syarat dilindungi dan dipertahankan hak dan kepentingan anak-anak asal Tanah Melayu.
Kepentingan ini termasuklah Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selain hak dan keistimewaan orang-orang Melayu Bumiputera.
Ternyata bagi DAP sejak tertubuhnya Malaysia pada tanggal 1963, kontrak sosial yang dimaksudkan seolah menjadi tidak relevan. Kerana itu bagi mereka gagasan ‘Malaysian Malaysia‘ tadi perlu dihidupkan kembali agar lahir dan terbentuk sebuah Malaysia baru yang sekular serta liberal, yang meletakkan kaum-kaum utama dalam negara setaraf dan sama sekali gus menghapuskan sebarang hak dan keistimewaan yang dikira mendiskriminasi.
Tuntutan perjuangan ini mengancam kedudukan orang-orang Melayu serta survival politik mereka kerana ianya akan menghapuskan segala warisan dan nilai-nilai jati diri umat Melayu Islam itu sendiri.
Sejak penubuhan mereka DAP yang didominasi pimpinan dan ahli bukan Melayu khasnya dari kaum Cina termasuklah sebahagian kaum India cuma bergerak aktif sekitar kelompok kaum ini sahaja. Ahli-ahli mereka rata-rata bukan Melayu dan mereka popular di kalangan masyarakat bukan Melayu kerana sering ke hadapan dalam memperjuangkan kepentingan kelompok ini.
Isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, pendidikan Cina dan Tamil, pembelajar dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil, rumah ibadat dan acara keagamaan serta perayaan bukan Islam diperjuangkan oleh parti ini.
Mereka juga membela kaum bukan Melayu apabila berlaku konflik antara kaum ini dengan pihak berkuasa, kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan. Mereka menjadi wira apabila berhadapan dengan pihak berkuasa.
Tetapi dengan sokongan bukan Melayu semata-mata DAP sedar mereka tidak akan mampu memiliki kekuatan politik di peringkat Nasional. Mereka mungkin boleh berkuasa di Pulau Pinang kerana bentuk demografi penduduk di sana. Tetapi untuk menguasai negeri-negeri lain apatah lagi berkuasa di peringkat Persekutuan mereka tidak akan mampu jika cuma menguasai sokongan bukan Melayu.
Parti Komunis Malaya atau PKM yang diharamkan dahulu pun mengalami masalah yang sama. Perjuangan mereka hanya disokong oleh penduduk bukan Melayu, manakala orang-orang Melayu tidak terpengaruh dengan fahaman Komunis.
PKM bawah kepimpinan mendiang Chin Peng lalu menubuhkan pasukan-pasukan Melayu yang dikuasai sepenuhnya oleh pejuang PKM Melayu dengan harapan mendapat sokongan masyarakat Melayu, lalu ditubuhkan Regimen ke 10. Tetapi gagal kerana orang-orang Melayu menolak fahamannya yang tidak percayakan Tuhan serta hakikatnya didominasi masyarakat bukan Melayu.
Kerana itu DAP mewujudkan Pakatan dengan parti-parti politik Melayu yang boleh mereka pengaruhi dan kuasai. DAP kini berkolaborasi dengan PKR dan PAN dalam Pakatan Harapan (PH).
PH sendat dengan bau perjuangangan DAP sehinggakan apabila mereka menguasai Putrajaya pada PRU ke 14 lalu, gelombang demi gelombang tuntutan perjuangan DAP terpaksa diterima dan dilaksanakan.
Tetapi DAP tidak pernah berpuas-hati. Walaupun mereka memperolehi laba politik yang besar melalui kejayaan menunggang tokoh dan parti-parti politik Melayu, sifat curiga tetap ada terhadap rakan-rakan mereka. DAP bukannya percaya sangat pada Tun Dr Mahathir sebelum ini dan kini Anwar serta Mat Sabu.
Kerana itu DAP terus melahirkan pimpinan Melayu mereka sendiri dengan anggapan jika tokoh-tokoh Melayu yang mereka lahirkan itu mendapat tempat dan akhirnya mampu membina kekuatan menembusi kubu-kubu penduduk Melayu, akhirnya DAP boleh berdiri sendiri tanpa perlu menunggang lagi mana-mana parti termasuklah PKR dan PAN.
Hari ini menjelang PRU ke 15 DAP sudah mula berani memperkenalkan calon-calon Melayu di kerusi-kerusi Parlimen tertentu termasuk di kerusi-kerusi majoriti Melayu. Dikhabarkan mereka akan meletakkan calon-calon Melayu di Kedah, Perak, Selangor dan Pahang.
Calon-calon ini pada perkiraan mereka punya potensi kiranya undi Melayu di kawasan berkenaan berpecah lantaran menyokong BN atau PN dan mereka pula menguasai ‘solid’ undi bukan Melayu.
Sama ada mereka mampu menang atau tidak tertakluk kepada pola pengundi di kawasan-kawasan ini. Pada PRU lalu mereka menang satu kerusi Parlimen melalui calon Melayu di Raub dan beberapa calon Melayu di kerusi-kerusi DUN, selain mampu menawan kerusi-kerusi Melayu melalui calon-calon bukan Melayu.
Jika kali ini mereka berjaya, bermakna DAP akan bergerak lebih agresif membawa agenda perjuangan mereka. Wakil-wakil Melayu bertopengkan DAP ini akan menjadi bukti bahawa orang-orang Melayu pun sudah mula terbuka dan sanggup mengorbankan warisan dan hak mereka demi melahirkan sebuah Malaysian Malaysia.
Ketika itu mereka akan menjadikan bukti bahawa orang-orang Melayu sendiri sudah sanggup memeluk dan mendakap fahaman sekularisma iaitu pemisahan antara agama dan kerajaan atau pemerintahan.
Agama ini biar menjadi perkara ‘personal‘ atau peribadi tidak perlu lagi diurus oleh kerajaan atau dilindungi kuasa kerajaan.
Agama biar diamalkan di masjid, gereja, kuil dan tokong atau di rumah masing-masing, sebagaimana agama dan amalan lain. Tiada keperluan untuk diJabatankan atau diwujudkan Kementerian untuk satu-satu agama, biar ia diurus sendiri oleh penganut masing-masing sebagaimana di negeri maju yang lain.
Jika ketika itu kita bantah maka mereka akan memperagakan wakil-wakil Melayu mereka sama ada yang berstatus Ahli Parlimen mahupun ADUN sebagai bukti bahawa, orang-orang Melayu sudah tak kisah akan hal-hal ini.
Oleh itu berhati-hatilah kita. Calon-calon DAP ini mungkin berkelayakan atau berpengalaman tetapi mereka dilatih dan sangat yakin dan percaya pada perjuangan DAP.
Satu undi untuk mereka bermakna kita rela agama dan bangsa kita dirobah mengikut rentak dan kemahuan DAP.
Beringat sebelum, terlambat. Jangan terhantuk baru mahu terngadah, takut segalanya sudah hilang buat selamanya.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR
Sumber – HARAKAHDAILY