“Saya berasa dikhianati oleh tangan ghaib dalam UMNO bahagian ini yang tidak memilih calon yang sepatutnya yang sudah bekerja keras selama ini, itu kata Naib Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Ridzuan Mansor.
Menurutnya ia berpunca ekoran pemilihan calon tidak dalam kalangan ahli jawatan kuasa selain tidak mengikut hierarki sebenar dalam parti tetapi sebaliknya dengan meletakkan calon muda dan bukan mereka yang ‘sepatutnya’ bertanding pada PRU15.
Oleh itu memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Pandangan saya, cara pemilihan yang tidak mengikut hierarki dan calon yang layak serta lebih berketampilan seolah-olah mahu membunuh karier politik mereka serta mecantas peluang (calon) berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dengan meletakkan calon muda yang tidak mengikut hierarki yang sebenarnya juga boleh membunuh karier politik lebih awal sekiranya calon dipilih tidak memenangi PRU15 ini.
“Saya tetap mematuhi keputusan pemilihan yang dibuat oleh Ketua Bahagian ini, tetapi agak menghairankan mengapa dalam kalangan ahli jawatan kuasa yang layak serta sepatutnya tidak dicalonkan.
“Ini menunjukkan kelemahan pengurusan dan pentadbiran UMNO bahagian ini dengan mengetepikan calon yang lebih layak dan inilah menyebabkan saya memilih bertanding sebagai calon Bebas untuk memberikan pengajaran serta menghapuskan ‘kudis’ dalam (UMNO) bahagian ini,” katanya.
Ridzuan berkata, dia memilih untuk bertanding di DUN Pulau Tawar kerana kawasan itu merupakan kampung kelahirannya, ramai ahli keluarga serta kenalannya malahan sudah hadam dengan pengundi di kampung tradisional pesisir Sungai Pahang dan kawasan Felda.
“Saya sudah bertekad akan melawan habis-habisan menegak kebenaran dan bersedia untuk disingkirkan daripada UMNO berasaskan peraturan disiplin parti ini.
“Walau bagaimanapun, roh saya masih tetap dengan UMNO kerana parti inilah yang mencanai kepimpinan serta pengalaman saya setelah berjuang hampir 25 tahun dalam UMNO Bahagian dan DUN,” katanya.
Beliau berkata walaupun bertandingan sebagai calon Bebas, beliau tidak mengarah bilik gerakan di kampungnya ditutup.
Tegasnya, menjelang penamaan calon hari esok, beliau sudah menutup pintu rundingan dengan semua pihak dan enggan menarik balik tekadnya untuk bertanding sebagai calon Bebas dengan menggunakan lambang gajah serta tagline ‘Pakcik Prihatin’ tanpa menoleh ke belakang lagi.
Tamat