Lantang sekali Pengasas Gerakan Tanah Air (GTA) apabila membuat satu tuduhan kepada Presiden BN, Zahid Hamidi yang kini sedang terlibat dengan beberapa kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Menurutnya usaha BN hanya semata-mata membentuk kerajaan selepas 19 November ini bagi memberi laluan kepada Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, selain membebaskan Najib Razak daripada hukuman penjara.

“Bukan untuk negara, bukan untuk rakyat, bukan untuk pengundi tetapi untuk selamatkan diri mereka dari dipenjara.

“Sebab itu Gerakan Tanah Air akan menentang percubaan BN untuk jadi kerajaan,” Dr Mahathir berkata.

Selain itu Mahathir berkata, dia turut mendapat maklumat mengenai kerjasama politik yang berlaku di antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Melalui kerjasama itu, menurut beliau, bertujuan untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu dan menggugurkan semua kes melibatkan Ahmad Zahid selain membebaskan Najib Razak.

Kemudian Ahmad Zahid akan mengambil semula jawatan tertinggi di Putrajaya itu daripada Anwar selepas bersih daripada segala tuduhan, kata Dr Mahathir.

“Kita dapat makluman bahawa Anwar sudah pun berbincang dengan Zahid Hamidi, maka mana antara mereka menang maka Anwar akan menjadi Perdana Menteri.

“Kenapa anwar akan jadi PM dan tidak Zahid? Kerana PM akan memohon kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk mengampun Najib Razak dan gugurkan segala kes yang masih ada terhadap Najib Razak.

“Selain daripada itu Anwar akan berusaha untuk menggugurkan tuduhan-tuduhan terhadap Zahid Hamidi, terhadap beberapa pemimpin-pemimpin BN dan semua kes-kes mereka akan dihapuskan.

“Sebab itu Zahid rela memberi tempat kepada Anwar dengan syarat Anwar membebaskan dirinya. Inilah sebabnya yang kita tidak boleh sokong parti Pakatan Harapan kerana mereka bekerjasama dengan Zahid untuk menyelamatkan Zahid dan juga Najib”, jelas pemegang rekod Perdana Menteri selama dua kali itu

Tamat