Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak akan menarik balik mahupun memohon maaf kepada DAP berhubung kenyataan mengaitkan parti itu dengan Komunis.

Bahkan beliau mengalu-alukan laporan polis dibuat DAP ke atasnya dan tetap menegaskan bahawa beliau mengenali parti itu yang pernah bersama PAS tidak berubah ideologi dan konsep dibawa iaitu ‘Malaysian Malaysia’.

“Memang saya kenal berapa orang itu tak percaya tuhan. Saya tahu pimpinan DAP pernah bercampur dengan kami (PAS). Dia tak percaya ke tuhan. Kami tahu, tak perlu sebut namalah.

“Dan ada yang bawa balik (abu mayat) Chin Peng (ke Malaysia) minta bawa balik, itu apa itu maknanya? Abu (mayat) Chin Peng. Lepas itu sambutan lawan Jepun.

“Buat di Kajang masa PH (Pakatan Harapan) dibenarkan sambut. Puak-puak yang bertempur dengan tentera itu. Itu dalil-dalil yang banyaklah. Bukan semua, sebahagian itu memanglah ideologi Komunis,” bidasnya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden PAS yang berkempen untuk calon-calon PERIKATAN NASIONAL Wilayah Persekutuan di Restoran Al-Bidayah, KL Traders, di sini tengah hari tadi.

Beliau yang juga calon P.037 Marang bersedia dengan ketegasannya itu untuk dihadapkan ke mahkamah dan akan menunjukkan bukti-bukti, termasuk berdepan sebarang keputusan PRU15 selepas 19 November nanti.

Menyentuh kenyataan bahawa DAP bersikap rasis, beliau mengemukakan tindakan-tindakan dibuat parti tersebut sepanjang memerintah Pulau Pinang sebagaimana pernah berlaku di Singapura dahulu.

“Walaupun dia tonjolkan calon-calon Melayu, itu sebagai satu alat politik. Macam Lee Kuan Yew pernah buat di Singapura dulu. Gunakan parti-parti Melayu.

“Nak lantik (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim) jadi Perdana Menteri. Sebab Anwar ikut dia. Ikut dia,” bidas beliau menyifatkan DAP sedang menggelepar dengan kenyataan-kenyataan dibuat terhadap mereka.

Beliau juga menyatakan tidak gentar dengan laporan dibuat ke atasnya dan bersedia dipanggil pihak polis dan ke Bukit Aman lagi walaupun pihak polis sedia datang ke rumahnya.

“Yang buat catitan itu, polis India bukan polis Melayu. Kalau Melayu ni boleh jadi sentimen kaum sebenarnya. Bukit Aman lantik polis India,” ujarnya penuh yakin.

Tamat

Sumber – HARAKAHDAILY