Belum pasti sama ianya benar atau tidak namun khabar angin itu sedang panas dimain oleh beberapa pihak berkenaan perjumpaan Ismail Sabri bersama beberapa pimpinan PAS.

Berita berkenaan kecoh selepas katanya berlaku pertemuan tertutup membabitkan pemimpin BN dan PAS di sebuah kelab golf di Petaling Jaya, semalam, namun ianya dinafikan oleh Ismail Sabri.

Menurut Ismail Sabri berkata, segala tindakannya kini disalah tafsir sehingga dianggap pengkhianat jika bertemu dengan rakan daripada Pas manakala pihak yang bertemu dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dianggap hero.

“Tak betul (pertemuan itu). Mana ada perjumpaan membabitkan 10 orang itu. Tengok senarai nama tu lima orang sahaja. Ini semua fitnah jahat untuk merosakkan nama saya.

“Hari ini nak jumpa kawan-kawan pun tak boleh. Jumpa kawan Pas (dianggap) jadi pengkhianat, jumpa orang PH jadi hero penyelamat parti. Semua orang dah gila,”

Selain Ismail Sabri, pemimpin lain yang didakwa terlibat dalam pertemuan itu ialah Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Menurut Ismail Sabri, beliau hanya menghadiri majlis perpisahan bersama bekas kakitangannya di Jabatan Perdana Menteri tetapi terdapat fitnah yang mengatakan beliau bersama Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Kata beliau, pemimpin Umno lain seperti Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut difitnah bahawa beliau membuat gerakan untuk melawan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang ini, kerana nak sokong orang lain bentuk kerajaan dan angkat orang jadi Perdana Menteri, pemimpin UMNO memaki hamun sesama sendiri dan memecahbelahkan Umno,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong menerusi hantaran di Facebook, menzahirkan rasa kesal kerana difitnah kononnya terbabit dalam pertemuan itu.

“Ya, pagi semalam saya memang pergi ke Tropicana Golf Club atas jemputan dua orang usahawan Cina untuk bersama-sama brunch dim sum di Chinese Restaurant, di kelab itu.

“Apabila tiba di Tropicana, saya terserempak dengan Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bersarapan di kafe sebelah dengan Chinese Restaurant,” katanya.

Beliau berkata hanya bertegur sapa dengan Ismail Sabri sebelum dua rakannya tiba dan terus masuk ke Chinese Restaurant apabila dua rakannya itu tiba.

Tamat