Seorang warga emas 71 tahun maut apabila ditikam bertubi-tubi oleh seorang lelaki di kawasan parkir sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn di sini kelmarin.
Menurut sumber warga emas berkenaan ditikam akibat berlaku curang dengan seorang wanita yang merupakan isteri kepada seorang lelaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kejadian itu dilaporkan oleh seorang pegawai perubatan pada pukul 6.29 petang selepas pihak hospital menerima seorang pesakit dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya, mangsa juga sempat memaklumkan kepada pengadu bahawa dia telah diserang dan ditikam di kawasan sebuah pasar raya di Bandar Tun Hussien Onn.
“Berdasarkan pemeriksaan dan rawatan awal, mangsa mengalami kecederaan serius akibat tikaman mengenai paru-paru kanan dan kesan tikaman benda tajam di paha dan bahu kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut Mohd. Zaid, hasil siasatan awal mendapati suspek menyerang mangsa ketika lelaki itu sedang berdua-duaan dengan isterinya di dalam sebuah kenderaan berdekatan pasar raya berkenaan.
“Suspek dikatakan marah dengan hubungan intim antara isterinya dengan mangsa.
“Susulan laporan yang dibuat, polis telah menahan seorang lelaki dan wanita yang juga pasangan suami isteri di sekitar kawasan Hospital Serdang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang ditangkap itu mengaku ada mencederakan mangsa semasa berada di kawasan parkir kenderaan sebuah pasaraya di Bandar Tun Hussien Onn.
Jelasnya, susulan penahanan pasangan suami isteri itu, polis telah merampas kenderaan milik mangsa, empat buah telefon bimbit serta pakaian suspek yang mempunyai kesan darah dan resit pembelian senjata pisau.
“Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 2 Disember depan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” katanya.
Tamat