Belum sempat seminggu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, sudahpun wujud niat jahat Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mahu mencabuli sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia.

Pihak berkenaan mula menuntut kerajaan PH menunaikan manifesto demi kepentingan mereka hanya menyerlahkan kerakusan badan itu.

Dong Zong kelihatan terdesak serta terhegeh-hegeh menggesa kerajaan memberi pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan peruntukan kekal kepada sekolah persendirian.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Pahang, Aminuddin Yahaya mengakui dalam hal ini, Dong Zong memang pandai dan rakus mengambil peluang.

“Ini kerana mereka tahu antara kesemua janji manifesto PH, inilah yang paling susah untuk ditunaikan dan mereka inginkan jaminan itu secepat mungkin.

“Lebih-lebih lagi momentum penerimaan rakyat terhadap pembentukan kerajaan baharu ini adalah bersangka baik iaitu “kita berilah peluang dulu”.

“Dong Zong mungkin sangka rakyat tidak akan bangkit menentang agenda UEC dan peruntukan sekolah persendirian mereka ini,” katanya.

Semalam, Dong Zong menggesa kerajaan baharu mengiktiraf sijil UEC Sekolah Menengah Cina bebas dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina secepat mungkin.

Menurut laporan media, mesyuarat bersama Dong Zong kali ke-93 sebulat suara meluluskan dan menerima 11 cadangan, termasuk menggesa kepimpinan Anwar selaku pengerusi PH mengiktiraf sijil UEC dan menginstitusikan peruntukan Sekolah Menengah Cina Persendirian secepat mungkin.

Dalam pada itu, Aminuddin mendakwa kepimpinan Barisan Nasional (BN) menerima tuntutan Dong Zong itu seperti mana yang termaktub dalam manifesto mereka sejak zaman Datuk Seri Najib Razak lagi.

“Lebih parah lagi, ada ahli Majlis Tertinggi UMNO mendedahkan wujud suara-suara pimpinan tertinggi sudah berani berkata tidak mahu ‘jaga orang Melayu lagi’ selepas kecewa dengan penolakan orang Melayu terhadap UMNO.

“Setakat setuju terima UEC ini, apalah sangat, malah parti-parti komponen lain terutamanya MCA dalam BN memang penyokong tegar UEC,” katanya dengan tegas.

Selain itu, pendokong tegar UEC dalam PH, iaitu DAP adalah parti yang mempunyai kerusi parlimen terbanyak dan pastinya Anwar akan tunduk jika mereka bersuara.

“King maker dari Sarawak iaitu GPS juga pendokong UEC. Sarawak pimpinan GPS juga telah mengiktiraf UEC di peringkat negeri.

“Maka, kerajaan campuran ‘PH plus’ zaman Anwar (PRU15) jauh lebih ‘totok’ menyokong UEC berbanding dahulu (PRU14). Saya merasakan memang janji dan agenda mengiktiraf UEC kali ini jauh lebih serius.

“Jadi, arus menolak UEC kali ini mesti lebih besar dan lebih keras,” katanya

Tamat