Melihat kepada situasi semasa, isu orang ketiga ini adalah dianggap sangat merbahaya namun adakah tindakan yang wajar dikenakan kepada orang ketiga tersebut.
Hingga kini, tiada satupun kes gangguan pihak ketiga ini yang telah direkod walaupun statistik aduan yang dibuat ke Penguatkuasa Agama adalah tinggi berkenaan gangguan orang ketiga tersebut.
Untuk mengetahui mengapa, seperti lazim kita perlu tahu apa itu kesalahan pihak ketiga itu serta siapa yang boleh tergolong dalam kalangan tersebut.
Kesalahan gangguan orang ketiga dalam perkahwinan merupakan satu kesalahan jenayah syariah yang boleh didakwa. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 12 peratus punca perceraian di negara ini disebabkan faktor orang ketiga. Kebanyakan kes dilaporkan adalah membabitkan perbuatan dalam bentuk fizikal atau pun spiritual yang melibatkan gangguan sihir. Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu berlaku curang dengan pasangan masing-masing (Saadiah Ismail, 2012).
Orang ketiga boleh jadi sesiapa sahaja sama ada orang yang dikenali atau tidak. Boleh jadi melibatkan ahli keluarga sendiri sama ada ibu bapa, mertua, adik beradik, ipar duai, sepupu sepapat, anak kandung, anak tiri dan sebagainya. Boleh jadi juga bekas kekasih suami atau isteri. Barangkali juga melibatkan kekasih gelap suami atau isteri. Mungkin juga melibatkan orang luar seperti jiran, rakan sekerja, alumni sekolah, majikan dan sebagainya.
Golongan lgbtq juga tidak terkecuali dari termasuk dalam pihak ketiga ini. Dr. Wahbah Al-Zuhaili mengkategorikan orang ketiga dalam rumah tangga boleh dirujuk antara pasangan kekasih lelaki dan wanita, wanita dengan wanita lesbian (hubungan sesama jantina yang dimaksudkan sebagai musahaqah dan liwat) lelaki dengan lelaki gay (persetubuhan dubur sesama lelaki atau perempuan kecuali dubur isteri).
Jadi berbalik kepada soalan di awal tadi, bagaimana tiada kes gangguan pihak ketiga direkodkan sedangkan maksiat skandal, lgbtq dan lain-lain ini telah menjadi rutin masyarakat kini serta aduan yang diterima adalah banyak? Jawapannya terletak di dalam peruntukkan undang-undang itu sendiri.
Dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, terdapat 3 seksyen yang memperuntukkan mengenai gangguan orang ketiga dalam rumah tangga iaitu :
i. Seksyen 36 (memujuk lari perempuan bersuami),
ii. Seksyen 37 (menghalang pasangan yang sudah bernikah hidup bersama), dan
iii. Seksyen 38 (menghasut suami/isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab).

Jika diteliti ketiga-tiga kesalahan orang ketiga ini adalah cenderung kepada hasutan serta pujukan sahaja. Ia seolah-olah tidak cenderung kepada orang ketiga yang hanya berfoya-foya atau dengan erti kata lain skandal tanpa berniat memecah belahkan mana-mana hubungan seperti yang dinyatakan oleh Dr. Saadiah Ismail iaitu “Gangguan dalam bentuk fizikal biasanya membabitkan permainan cinta tiga segi atau pasangan itu berlaku curang dengan pasangan masing-masing”.
Tambahan lagi seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaili berkenaan gangguan pihak ketiga ini boleh juga berlaku daripada hubungan sejenis (lgbtq). Oleh itu, tidak hairan mengapa tiada kes gangguan pihak ketiga yang direkod jika peruntukkan yang terdapat hanya fokus kepada orang ketiga yang menghasut dan memujuk sahaja.
Untuk mengelakkan salah faham pembaca, undang-undang syariah di negara ini tidaklah menghadkan kesalahan orang ketiga ini kepada yang menghasut dan memujuk sahaja. Ia merupakan tuntutan di dalam hukum syarak itu sendiri.
Teliti firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah sekiranya kamu berkuasa, kamu akan melakukan kerosakan di bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan?. Mereka itulah orang-orang yang dikutuk oleh Allah, lalu dibuat tuli (pendengarannya) dan dibutakan penglihatannya” (Muhammad, 47: 22-23).
Rasulullah SAW menolak perbuatan keji ini dengan menyifatkan pelaku perbuatan itu bukan sebahagian dari umat baginda. Perbuatan orang ketiga adalah sama seperti merosakkan silaturahim merujuk kepada hadith riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan”.

Jelas disini undang-undang syariah di negara ini mengkhususkan kesalahan orang ketiga adalah kepada orang yang menghasut serta memujuk kerana ianya amat ditegah oleh Allah dan Rasul.
Namun begitu, kesalahan seperti berfoya-foya dan berskandal adalah dikategorikan sebagai KESALAHAN YANG BERHUBUNGAN DENGAN KESUSILAAN iaitu didalam:
• Seksyen 20. Perbuatan sumbang mahram.
• Seksyen 21. Pelacuran.
• Seksyen 22. Muncikari.
• Seksyen 23. Persetubuhan luar nikah.
• Seksyen 24. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah.
• Seksyen 25. Liwat.
• Seksyen 26. Musahaqah.
• Seksyen 27. Khalwat.
• Seksyen 28. Orang lelaki berlagak seperti perempuan.
• Seksyen 29. Perbuatan tidak sopan di tempat awam.
Dengan itu, kita dapat lihat bahawa semua kesalahan-kesalahan tersebut diatas adalah tidak dikecualikan daripada diambil tindakan. Yang berbeza hanyalah kategori sahaja.
Jika mana-mana individu dibuktikan bersalah dibawah mana-mana seksyen pertuduhan ini, maka individu tersebut tetap boleh dikenakan denda maksimum RM5000.00, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan merujuk kepada seksyen pertuduhan yang telah disabitkan.