Bekas menteri yang baru dipecat dari Umno, Annuar Musa, menyifatkan tindakan kepimpinan parti itu memecat ahli sebagai menggali kubur sendiri.

Tolak sebelah kepetahan beliau berhujah namun kenyataannya itu sekali gus menyimpulkan situasi yang sedang melanda parti tua yang tidak lagi agung itu. Kepada yang tidak tahu atau lupa, usia Umno sudah lebih 76 tahun.

Dipecat atau keluar parti bukan perkara luar biasa. Perlembagaan semua parti politik memperuntukkannya. Tapi dalam hal Umno ini, perbuatan memecat ahli yang memegang jawatan penting berleluasa dalam zaman gelora Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden.

Kritik, nasihat, tegur dan tanya pun sudah cukup untuk dikenakan tindakan tatatertib atau dipecat terus. Zaman Najib, tanya pasal 1MDB pun kena buang.

Bayangkan kalau cabar presiden macam Tengku Razaleigh Hamzah lawan Dr Mahathir Mohamad dan Almarhum Sulaiman Palestin lawan Almarhum Hussein Onn. Sekarang presiden yang bawa parti kepada kekalahan pun tidak boleh atau berani dicabar.

Boleh jadi ahli Umno sendiri tidak sedar atau tidak faham yang parti mereka semakin hari semakin feudal, autokratik, dogmatik, eksekutif dan korup. Sudah jadi macam “old boys club” bukan parti politik untuk rakyat jelata lagi.

Tetapi masyarakat umum, khususnya yang terdedah kepada kepelbagaian maklumat dan berfikiran terbuka, telah mula menolak Umno secara sistematik bemula pilihan raya umum 2008 apabila Umno/BN hilang majoriti dua pertiga.

Sejak itu, nasib Umno menjadi bertambah buruk apabila kepimpinan hanya setia kepada presiden dan terpalit dengan pelbagai skandal. Slogan demi agama, bangsa dan negara sudah menjadi klise. Kata-kata basi mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka.

Daripada 109 kerusi yang dimenangi dalam PRU 2004, kehadiran Umno dalam Dewan Rakyat jatuh kepada 79 pada 2008, naik sikit kepada 88 pada 2013, jatuh semula kepada 54 pada 2018 dan sekarang tinggal 26 saja. Kalau tidak sedar lagi memang sahlah ahli dan pemimpin Umno sudah koma.

Parti yang lebih enam dekad memerintah dan menang 13 daripada 15 PRU, hari ini menjadi antara yang paling daif dan bermasalah dengan tiada tanda jelas akan pulih semula.

Minta maaflah kalau saya kata, tanpa perubahan kepemimpinan dan pemudaan keahlian, tidak mustahil Umno akan menjadi tambahan kepada sejarah dalam satu atau dua PRU lagi.

Tamat

* Ini adalah Tokoh Wartawan Negara A Kadir Jasin bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Artikel ini asalnya disiarkan di media sosial. *

Tidak mewakili Amal Media