“Ianya tidak boleh dipaksa, dipengaruhi atau menjadi satu tekanan untuk membuang kerusi selagi itu tidak dinyatakan dalam Perlembagaan.” itu jelas Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah mengenai isu paksaan tandatangan MoU Perjanjian Persefahaman Kerjasama’ yang boleh disiasat terkait kes jenayah kerana memaksa Ahli Parlimen (MP) membuat undi menyokong Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Menurut beliau tindakan memaksa tersebut boleh disiasat di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan menjenayahkan perbuatan “memujuk atau memaksa atau cuba untuk mendorong atau memaksa ahli Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan Negeri atau mana-mana Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk menjalankan atau menahan diri daripada menjalankan kuasa yang sah dalam apa jua cara,” jelas beliau.
Haniff Khatri turut menambah, “Sekiranya ada aduan dibuat oleh Ahli Parlimen yang berkenaan di bawah Seksyen 124 (Kanun Keseksaan), maka pihak polis wajar membuka kertas siasatan.”
Beliau menjelaskan, ini kerana Ahli Parlimen yang terjejas boleh membawa perkara ini ke mahkamah susulan wujudnya konflik Perlembagaan negara, di mana seorang Ahli Parlimen tidak akan kehilangan kerusinya walaupun pengundiannya bercanggah dengan arahan parti kerana ia sudah dijamin di dalam Perlembagaan Negara.
Selain itu, pemimpin-pemimpin parti juga terdedah kepada siasatan jenayah kerana memaksa Ahli Parlimen melakukan perkara yang belum dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun perlembagaan parti.
Tambah Haniff Khatri, “Sama ada perkara itu disukai atau tidak oleh parti, menjadi tanggungjawab parti untuk memasukkannya dalam Perlembagaan atau peraturan-peraturan mereka jika mereka mahu. Tetapi tidak dilakukan pada masa itu secara khusus oleh mana-mana parti.”
Justeru, merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, seorang Ahli Parlimen akan kekal sebagai anggota Dewan Rakyat jika dia dipecat daripada partinya.
Baru-baru ini, Kerajaan Perpaduan di dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasamanya menyatakan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang gagal, enggan atau cuai dari menyokong Perdana Menteri, akan menyebabkan mereka diberhentikan daripada menjadi Ahli Parlimen serta kerusi tersebut akan dikosongkan mengikut kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.
Tamat