PASIR PUTEH: Rondaan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berjaya menyelamatkan nyawa 33 mangsa banjir yang terperangkap di Kampung Gong Kua, di sini.
Mangsa termasuk warga emas yang terlantar, orang koma dan kanak-kanak berkhatan yang membabitkan enam kediaman.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pasir Puteh, Kapten (PA) Nik Mohd Nor Nik Mat, berkata kejadian berlaku jam 3.15 petang semalam ketika anggota APM Team Wilayah 01 (Putrajaya) melakukan rondaan di kawasan itu bagi membantu APM Pasir Puteh sepanjang banjir.
“Pihak APM mengambil masa sejam 10 minit untuk membawa keluar semua mangsa.
“Ini kerana paras air yang sudah tinggi dan keadaan mangsa yang terlantar hingga ada yang terpaksa diangkat menggunakan kerusi menyukarkan tugas menyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nik Mohd Nor berkata, selepas dibawa keluar, mangsa dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kamil 2.
“Ada juga sebahagian mangsa dibawa ke rumah keluarga terdekat menggunakan pikap wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 39 saat memaparkan anggota APM sedang mengangkat warga emas menggunakan kerusi dengan keadaan air yang tinggi.
Dalam video itu disertakan kapsyen banjir di Tok Bali, Pasir Puteh namun sebenarnya berlaku di Kampung Kua.
Tamat
Sumber – Berita Harian