Ramai rakyat dikira menantikan perkhidmatan Prabayar Internet mudah alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan bermula Februari tahun depan.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini yang turut memberitahu bahawa langganan tersebut dibuat dengan kerjasama Celcom-Digi, Maxis, Umobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Walaubagaimanapun rakyat masih bimbang kerana biasanya perkhidmatan yang ada biasanya bersifat ala kadar sahaja, dan rakyat terpaksa menambah pakej-pakej tertentu untuk membolehkan kelangsungan internet.

Menurut Fahmi, pakej pada harga RM30 dengan data 30 gigabait (GB) selama enam bulan khusus buat belia, golongan berpendatan rendah, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, melalui penjimatan hanya RM5 sebulan, golongan berkenaan boleh menikmati kemudahan internet dan komunikasi dengan kelajuan tiga megabit sesaat (Mbps).

“Secara umumnya, berbanding pakej sedia ada, ia menawarkan penjimatan RM5 sebulan, dengan tempoh sah dua kali ganda iaitu daripada 90 hari sebelum ini kepada 180 hari dengan kuota data yang hampir sama.

“Kelajuan pakej juga meningkat tiga kali ganda daripada satu Mbps kepada tiga Mbps. Ini bermaksud separuh harga, tiga kali ganda kelajuan.

“Pakej ini menawarkan potensi penjimatan 65 peratus hingga 85 peratus bersamaan RM90 ke RM150 bagi tempoh enam bulan berbanding pakej semasa dalam pasaran,” katanya dalam sidang media.

Fahmi menambah, data tersebut dapat digunakan untuk perkhidmatan teks dan panggilan, selain aplikasi dalam talian seperti penghantaran makanan, perbankan, navigasi dan juga carian di internet.

Katanya, kerajaan hanya menyediakan pakej asas bagi prabayar internet, manakala tawaran nilai tambah bergantung kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Untuk akan datang, kementerian akan berusaha lebih gigih bagi memastikan beberapa perkara dapat diumumkan. Ada beberapa perkara sedang dibincangkan,” ujarnya lagi.

Tamat