Hanya ucapan terima kasih dan tahniah dapat diucapankan kepada semu pasukan penyelamat serta sukarelawan yang bertungkus lumus berhari-hari mencari mangsa runtuhan tanah di Father Organic Farm Batang Kali sejak 16 Disember lalu.

Rakyat Malaysia terhutang budi kepada semua agensi terlibat terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Walaupun ada berapa kali mangsa seolah-olah terhijab dari pandangan namun anggota penyelamat terus meneruskan operasi menyelamat sehingga mangsa akhir ditemukan.

Menurut Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor turut mengakui fenomena misteri berkenaan yang menyatakan kawasan penemuan tersebut sudah dilalui berkali-kali oleh pasukan SAR.

Beliau berkata perasaan gusar dan hampir putus asa menyelubungi pasukannya jika memasuki hari kedua tanpa penemuan mangsa terakhir.

“Tempat penemuan mangsa terakhir sudah dilalui berkali-kali pasukan SAR setiap hari, termasuk Unit Anjing Pengesan (K9), mungkin terlindung, tidak sedar atau juga ‘sesuatu yang kita tak dapat dibaca’.

“Bukan saya sahaja, pasukan saya juga mula putus asa sebenarnya jika tidak dapat menemui mangsa hari ini (semalam), kita hanya mampu berserah selepas seharian tidak menemui mangsa,” katanya kepada media semalam .

Dalam pada itu, menurut Hafisham, lokasi mayat mangsa dijumpai hanya sekitar 200 hingga 300 meter sahaja dengan tempat mayat bapa serta kakaknya yang dijumpai pada hari pertama kejadian.

“Mayat dua ahli keluarga mangsa yang dijumpai pada hari pertama berada sangat dekat antara satu sama lain, disebabkan itu kita fokuskan Sektor A.

“Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) juga mengesahkan bahawa kita sudah melakukan lebih 80 peratus pengorekan tanah di tapak perkhemahan ini, jadi perasaan jika tidak menemui mangsa sangat membimbangkan” katanya.

Tamat