“Maka dengan ini, demi kepentingan Parti PBM, Jawatankuasa Disiplin PBM telah membuat keputusan bahawa keahlian, jawatan individu-individu tersebut ditamatkan berkuat kuasa serta-merta pada 27 Disember 2022,” itu kenyataan daripada penerangan PBM selepas membuat pemecatan orang pentingnya Datuk Zuraida Kamaruddin termasuk 11 yang lain.

PBM juga memecat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Talha dan ADUN Sementa, Dr. Daroyah Alwi.

Haniza merupakan Timbalan Presiden PBM manakala Daroyah pula ketua wanita parti berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan, Haniza dan Daroyah Alwi masih kekal sebagai ahli biasa walaupun dipecat daripada jawatan masing-masing.

Selain itu, Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad juga dipecat.

PBM turut memecat Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahari; Ketua Pemuda, Na’im Brundage dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid.

Turut dipecat empat Ahli Majlis Tertinggi PBM, Abd Aziz Ab Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Unit Penerangan PBM berkata, 11 pemimpin itu dipecat kerana gagal memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari.

Katanya, tindakan ke atas semua 13 individu itu diambil selepas Ahli Jawatankuasa Disiplin parti membuat perbincangan lanjut hari ini mengikut perlembagaan parti.

“Mereka telah diberi peluang untuk menjelaskan dan membela diri dan diberi tempoh tujuh hari akan tetapi telah gagal memberikan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin Parti PBM.

Tamat