“Apabila harga barang meningkat, pengguna tidak mampu lagi nak beli barang dengan harga yang sama. Jadi, kerajaan perlu memastikan pengguna terutama yang berpendapatan kurang RM2,000 ada cukup makanan atas meja mereka,” itu jelas Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Beliau menjelaskan, kuasa membeli pengguna dijangka semakin berkurangan dan ia perlu dita­ngani segera kerana ia memaksa pengguna kurang ber­belanja yang akan memperlahankan per­tumbuhan ekonomi.

“Kerajaan perlu memikirkan soal perlindungan sosial, contohnya, memperkenalkan skim tambahan pendapatan dengan bantuan antara RM100 hingga ke RM1,000 misalnya dengan peruntukan lebih RM50 bilion. Ini boleh menampung pendapatan pengguna,” katanya.

Menurutnya, peruntukan itu juga amat penting kerana kenaikan inflasi akan menyebabkan kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan lebih tinggi pada masa akan datang.

“Pada 2019, kadar OPR adalah 3.5 peratus. Ketika ini kadar OPR pada 2.75 dan dianggarkan ia akan dinaikkan sehingga 3.25 peratus. Ini akan menjadi beban kepada peminjam terutama yang membuat pembiayaan konvensional akan berubah manakala permintaan kereta dan rumah akan menurun malah bayaran ansuran akan berkurangan,” katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya pengguna tidak terjejas teruk dengan kenaikan harga dan inflasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Ini kerajaan baharu tetapi mereka perlu segera melaksanakan dasar. Walaupun mereka perlukan masa untuk mengkaji, kerajaan perlu mempunyai matlamat jangka pendek untuk tangani isu ini dengan segera.

“Matlamat jangka pendek adalah menstabilkan harga dan memastikan barang sentiasa ada di pasaran. Matlamat jangka sederhana pula adalah menurunkan harga manakala matlamat jangka panjang adalah meningkatkan pendapatan pengguna, itu paling penting.

“Kalau kawal harga tapi pendapatan tak meningkat, pengguna akan kecewa kerana tak ada apa-apa perubahan terhadap kos sara hidupnya,” katanya.

Menurut perkembangan semasa beliau menjangkakan harga barangan dan makanan akan melonjak sehingga 10 peratus pada 2023 berdasarkan kepada unjuran kadar inflasi yang dijangka meningkat kepada enam hingga tujuh peratus.

Ini kerana, menurut data Jabatan Perangkaan, harga makanan dan minuman pada November meningkat pada kadar 7.3 peratus berbanding 7.1 peratus bulan sebelumnya, dengan kadar inflasi pada empat peratus disebabkan kenaikan harga makanan terutama berasaskan ayam dan tepung.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula memaklumkan, inflasi dijangka kekal tinggi 2023 berikutan tekanan permintaan dan kos, harga komoditi global akibat konflik di Ukraine dan gangguan bekalan berlarutan yang ketika ini ditangani oleh kawalan harga dan subsidi.

Namun, Kementerian Ekonomi diterajui Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula hanya berjanji untuk membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan sebagai salah satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang.

Tidak ada apa yang dirancang Rafizi untuk membantu rakyat yang bakal berdepan masalah ekonomi tahun ini, sebaliknya dia hanya meminta rakyat tidak membeli barang jika mahal, termasuk mengurangkan makan ayam.

Namun, jika harga barang dan inflasi terus meningkat, ia akan memberi kesan besar kepada pengguna terutama golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Tamat