Terkejut semua rakyat Malaysia, belum selesai kes Bung Mokhtar di mahkamah, tiba-tiba muncul pula isu baru apabila dia selaku Ketua Umno Sabah mengumumkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.

Menurutnya keputusan itu dibuat selepas mendapati pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu melanggar perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang dimeterai selepas pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan menarik diri daripada kerajaan Sabah selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas mesyuarat parti itu malam ini.

Menurutnya keputusan itu dibuat susulan tindakan Hajiji yang dilihat melanggar perjanjian persefahaman dengan BN susulan keputusan Ketua Menteri Sabah menamatkan lantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sebagai pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menurutnya, Hajiji turut mengugut dengan rombakan Kabinet negeri tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan BN Sabah.

“Keputusan kami sebulat suara, Umno-BN menarik diri dan menarik sokongan terhadap Hajiji selaku Ketua Menteri, kami sudah hilang kepercayaan.

“Selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami telah berbincang dengan beberapa peguam dan peguam telah maklumkan bahawa Hajiji telah kehilangan local standi atau tiada kelayakan untuk dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Bung Moktar berkata, Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan negeri Sabah apabila beliau telah mengisytiharkan keluar daripada Bersatu, iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

Menurutnya, dengan penarikan sokongan kepercayaan itu, Hajiji telah hilang majoriti di dalam DUN dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

Sementara itu, beliau berkata, BN bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ikhlas untuk bekerjasama dengan mereka.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan sama ada tindakan menarik sokongan itu menyebabkan DUN Sabah dibubarkan, Bung Moktar menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri Sabah untuk membuat keputusan.

Tamat