KUALA LUMPUR: Pertubuhan mewakili petugas dan pengamal perubatan mahu kerajaan menghalang kemasukan pelancong dari China ke negara ini untuk memberi kelegaan dan jaminan kepada petugas kesihatan bahawa kebajikan mereka diberi perhatian.

Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob, berkata warga kakitangan kesihatan amat bimbang dengan situasi penularan varian Omicron subvarian BA.5.2, BF.7, yang dilaporkan sedang hebat melanda China.

“Kita masih ingat bagaimana epidemik COVID-19 hampir melumpuhkan sistem kesihatan kita yang tidak dapat menampung kes yang banyak setelah kita terlambat mengambil keputusan menghalang pelancong China pada penghujung 2019 dulu.

“Menghalang kemasukan secara khusus pelancong China secara bersasar juga akan menjadikan gerak kerja semua jabatan terbabit, khususnya khidmat perubatan dan kesihatan di pintu masuk negara kita lebih efisien,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan harus cakna dengan kajian dan faktor yang mempengaruhi lesu upaya (burn out) petugas barisan hadapan di Malaysia, yang dijalankan ketika pandemik dulu.

Dalam kajian itu, katanya, didapati prevalen lesu upaya berkaitan peribadi ialah sebanyak 53.8 peratus.

Justeru, beliau berkata, I-Medik dengan kerjasama The International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan program jelajah Bantuan Asas Psikologi (#HealHer) ke seluruh Malaysia bagi memulihkan rasa lesu upaya itu.

“Ia bertujuan memperbaiki taraf kesihatan mental petugas barisan hadapan negara,” kataya.

Sejak minggu lalu, pelbagai pihak menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan terkini wabak COVID-19 yang dikatakan kembali mengganas di China.

Lebih membimbangkan, perayaan Tahun Baru Cina yang akan disambut beberapa minggu lagi dijangka akan melonjakkan pergerakan penumpang antarabangsa, seterusnya meningkatkan risiko jangkitan dan penyebaran semula wabak itu.

Terdahulu, kerajaan negeri Sabah mengumumkan prosedur standard (SOP) yang lebih ketat terhadap penumpang yang masuk ke negeri itu dari negara yang mengalami peningkatan kes COVID-19 seperti China dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, di Selangor dan Perlis, kerajaan negeri mensyaratkan pemakaian pelitup muka kepada penyedia, pengendali makanan dan minuman berkuat kuasa 1 Januari 2023, bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Tamat