“Tugas kami sudah selesai. Kami sudah melaksanakan tanggungjawab kami dari segi memutuskan kes itu. Apa sahaja yang beliau mahu lakukan, apa sahaja jalan yang beliau mahu lalui, itu di luar kuasa kami,” itu satu kenyataan tegas daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkenaan petisyen yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Berkaitan Penahanan Arbitrari (UNWGAD).

Melalui petisyen berkenaan Najib memohon supaya dibebaskan daripada penjara atau kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd dihadapinya dibicarakan semula, tidak menjejaskan badan kehakiman.

Tun Tengku Maimun pada masa sama berkata terserahlah kepada Najib” untuk mengambil apa-apa tindakan kerana selepas Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusannya pada 23 Ogos tahun lalu.

Terdahulu pada minggu lalu, bekas perdana menteri, melalui Tetuan Shafee & Co, memfailkan petisyen di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

Melalui satu sidang akhbar Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan bahawa anak guamnya memfailkan petisyen itu untuk memohon pembebasan atau perbicaraan semula susulan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang didakwanya mempunyai kecacatan serius dan bercanggah dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International.

Tamat