Lain macam sekarang jenayah sekarang ni, pastinya mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila berlaku kes penemuan satu mayat dipotong enam bahagian kemudianya ditemui di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pagi tadi, berhampiran persimpangan Rawang Selatan.

Tidak sekadar itu sebahagian keratan tubuh mangsa disumbatkan ke dalam beg bagasi manakala separuh bahagian badan ditemui di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.45 pagi.

“Kita menemui keratan badan (pinggang ke atas tanpa kepala) di tepi jalan serta menemui satu bagasi berhampiran keratan badan.

“Hasil pemeriksaan di dalam bagasi pula kita menjumpai serpihan potongan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shafa’aton berkata, mayat itu tidak sempurna kerana tiada kepala serta kedua-dua tangan dan kaki.

“Identiti mayat dan jantina belum dikenal pasti berikutan mayat tidak lengkap dan tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tamat