‘Mana ada turun harga, bahan mentah masih mahal’ itu tajuk berita daripada akhbar Sinar Harian dan ianya mengiakan realiti yang dialami rakyat kini.

Realiti sebenar lebih pahit daripada apa yang katakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang kononnya harga barangan mentah telah turun mendadak.

Jom kita lihat apa yang dikatakan oleh peniaga menerusi akhbar Sinar Harian. Menurut pemilik restoran Kak Som Tomyam Kg Bharu, Linda Sabri, dia tidak melihat ada sebarang penurunan harga bahan mentah lagi setakat ini.

“Sekarang ni walau menteri kata harga bahan mentah turun tapi pembekal yang kita ambil tidak menunjukkan sebarang penurunan harga, masih sama.

“Kalau kita sendiri nak turunkan harga jualan makanan tapi kita beli bahan mentah dengan harga pasaran semasa, rugilah kami,” katanya.

Sementara itu, peniaga air di Ampang, Hyrul Ameer Mydin mempersoalkan kenyataan bahawa harga barang mentah sudah turun.

“Sekarang barang mana ada turun. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu susu satu karton dijual pada harga RM105. Sekarang jadi RM145. Harga Milo untuk dua kilogram dulu RM33 sekarang dah RM39.50 manakala Nescafe dulu RM34 sekarang RM44.

“Macam mana mereka kata macam itu, harga barang apa yang turun?” soalnya.

Bagi Yarni M Nasir yang menjual nasi campur selama belasan tahun di Ampang, katanya, tiada bahan mentah yang turun harga, sebaliknya harga ikan semakin mahal.

“Harga barang tak tak turun pun, saya beli harga sama saja dari dulu sampai sekarang. Yang saya tahu ada peningkatan harga ikan, ikan jadi mahal.

“Kadang-kadang memang tak sampai hati nak jual kepada pelanggan. Kalau kita beli ikan sekilogram dah RM20, bila dah masak seekor jadi RM5… mesti nak jual harga lebih untuk ambil sedikit keuntungan.

“Perlu juga kira kos pekerja, harga minyak dan sebagainya,” katanya.

Jadi formula Rafizi untuk hadapi keadaan sebenar sila datangkan dengan solusi bukannya sekadar teori tanpa jawapan.

Advertisement