Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu tindakan pantas dan tepat oleh pihak berkuasa bagi mencegah kekeliruan dan penularan sentimen berbaur kebencian.

Ia susulan dakwaan yang tular di media sosial semalam berkenaan satu bengkel peperiksaan yang dianjurkan khusus bagi pelajar Muslim oleh sebuah sekolah menengah di Johor Bahru.

Untuk itu, Sultan Ibrahim bertitah, isu yang boleh mengancam keharmonian dan perpaduan Bangsa Johor mesti ditangani dengan cekap oleh pihak berkuasa.

“Saya tidak mahu Bangsa Johor keliru dan mula berburuk sangka antara satu sama lain.

“Saya cukup menitik beratkan betapa pentingnya untuk persefahaman, perpaduan dan toleransi antara kaum kita yang pelbagai.

“Jabatan Pendidikan Negeri mesti bertindak pantas untuk menangani situasi sebegini agar tidak menular emosi negatif serta perkara tidak sahih dalam kalangan rakyat,” titahnya di Facebook.

Titah baginda, tiada orang yang patut disisihkan daripada suatu program awam kerana agama atau bangsanya.

“Jika benar ada yang telah diasingkan kerana itu, maka tindakan perlu diambil kepada penganjur.

“Begitu juga jika didapati tuduhan adalah tidak benar dan dilemparkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” titah baginda.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana didakwa berlaku.

Jelas KPM, bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina

TAMAT