“Saya juga menyatakan bahawa permohonan ini sekali gus dapat mengurangkan jumlah permohonan pelepasan pasport sementara kepada pihak mahkamah untuk membenarkan saya ke luar negara bagi tujuan rasmi,” itu kata Presiden UMNO Zahid Hamidi melalui permohonannya di mahlamah.
Menurutnya permohonan itu kepada mahkamah tinggi dengan niat baik (bona fide) yang hanya bertujuan memohon kebenaran bagi pelepasan pasport antarabangsa supaya dapat menjalankan tugas rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri.
“Saya menyatakan bahawa permohonan ini sama sekali tidak bersifat niat jahat atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana saya mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam penyelesaian kes sehingga ke peringkat akhir pembelaan saya.
“Saya turut mengaku janji bahawa akan patuh kepada semua syarat yang ditetapkan mahkamah dan akan memberi kerjasama penuh untuk menghadiri kesemua tarikh perbicaraan yang sudah ditetapkan,” katanya
Menurutnya tiada sebarang niat untuk melarikan diri dan tidak hadir dalam prosiding kes mahkamah kerana masih lagi berkhidmat sebagai Ahli Parlimen.
Permohonan itu ditetapkan bagi pengurusan kes hari ini di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob dan peguam, Nabihah Meor Azli mewakili Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Kes itu yang kini berada di peringkat bela diri yang dijadualkan bersambung pada 10 April ini di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Tamat
Kredit Foto – BERNAMA