“Tetapi KJ melampau. Parti jadi kambing hitam kononnya untuk meraih undi. Manakala Hishammuddin tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP Umno ke rumah Azmin Ali,”
Itu kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi terhadap dua bekas tokoh UMNO itu yang baru dipecat dan digantung keahliannya.
Menurutnya Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun atas akibat sering membelakangkan parti untuk bertindak menyokong Perikatan Nasional (PN).
“Suruh Ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu. Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishammuddin,” kata Puad.
Manakala KJ dipecat akibat memburukkan parti ketika kempen PRU15, selain memfitnah rombongan pengundi hantu dibawa masuk semasa undian usul pada Perhimpunan Agung Umno 2022.
“KJ memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa PAU Umno 2022 ada niat jahat,” kata Puad.
Pada masa sama, Puad menasihati mereka yang dipecat agar membuat rayuan sekiranya benar cintakan parti.
“Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan,” katanya.
Tamat