“Ia sentiasa ada pilihan sama ada memasuki parti politik sedia ada atau menubuhkan parti sendiri,” itu kata bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dalam satu rancangan radio.
Menurutnya tidak menolak kebarangkalian menubuhkan parti politik baharu ataupun bertanding sebagai calon dalam parti lain atau Bebas pada pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan enam negeri tahun ini, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Namun, sekarang saya dalam mood mendengar tentang apa pihak lain nak cakapkan kepada saya.
“Jadi biar saya berjumpa dan dengar dahulu apa yang pihak-pihak itu mahu katakan,” katanya.
Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) mengatakan mereka bersedia menerima pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan dipecat oleh parti tersebut.
Malah, pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut secara terbuka menunjukkan keterbukaannya menerima Khairy untuk memasuki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya beliau mengemukakan permohonan.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, antara kritera parti yang menjadi pilihannya adalah sejajar dengan wawasannya sendiri demi negara iaitu sentiasa bersifat inklusif, progresif serta mempunyai urus tadbir yang baik.
“Ia juga perlu sebati dan mempunyai keserasian. Sudah pasti memasuki parti lain akan berasa janggal pada mulanya.
“Namun, itulah yang dimaksudkan dengan politik. Ia mengenai memenangi hati dan meyakinkan rakyat, ia sesuatu yang saya bersedia tetapi perlu selari dengan wawasan diri saya,” katanya.
Tamat