Kecoh hari ini apabila wujud cerita duri dalam daging UMNO ataupun gunting dalam lipatan yang membuatkan parti keramat bangsa Melayu itu terus nyawa-nyawa ikan kini.
Presiden UMNO Zahid Hamidi berkata, beliau tidak boleh membiarkan sebarang serangan yang boleh menjejaskan parti ataupun dirinya sendiri?
“Serangan bukan hanya datang dari luar, kita kenal musuh di luar dan kita juga kenal musuh di dalam. (Perbuatan) Baling batu sembunyi tangan itu sangat banyak tapi saya harus bersangka baik dengan semua orang akan perkara ini, tetapi sebagai seseorang yang diberikan amanah memimpin parti, adakah saya mahu membiarkan keadaan itu berlaku?
“Parti mesti diselamatkan, parti tidak boleh ada gunting dalam lipatan atau duri dalam daging. Bagaimana jika sampah masuk ke mata? Kita buka matapun sakit, tutup matapun sakit, kita harus buang sampah itu untuk jaga mata supaya penglihatan kita jelas.
“Itu dipanggil ‘political clarity’ (kejernihan parti) itu harus dilakukan, (tetapi) saya tidak menuduh atau memaksudkan sesiapa, saya meraikan perbezaan pendapat, silakan bercakap tetapi apabila integriti parti disentuh saya tidak boleh berkompromi dalam perkara ini,” katanya .
Jelasnya, sekiranya ada kritikan sama ada daripada luar atau dalam parti, pemimpin perlu terima dan tanganinya dengan sebaik mungkin.
“Kalau khuatir dilanda ombak jangan buat rumah di tepi pantai, sebenarnya tiang serinya harus kukuh biarlah tsunami mendatang sekalipun, itu yang harus kita terapkan di dalam minda kita.
“Kita sebagai pemimpin harus ada (pemikiran) di dalam minda kita, berapa ramai sokong kita, itulah jugalah jumlah orang yang tidak suka kita, ertinya mesti ada semak dan imbang dalam perkara itu.
“Jangan jadi pemimpin syok sendiri, mengatakan semua orang sokong atau tidak sokong dengan kita. Saya fikir kritikan dari luar dan dalam pasti terima dan ditangani secara sebaik mungkin,” katanya.
Tamat