Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh manakala 440 lagi cedera selepas gempa bumi kuat melanda selatan Turkiye pagi hari ini, lapor Agensi Anadolu.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter itu berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan dan berpusat di daerah Pazarcik, wilayah Kahramanmaras.
Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman tujuh kilometer, diikuti dengan dua gempa bumi susulan yang melanda wilayah Gaziantep.
Menurut maklumat awal, korban terbabit dicatatkan di wilayah Kahramanmaras, Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakır, Adana, Adıyaman dan Malatya.
Gempa bumi turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan negara jiran seperti Lubnan dan Syria.
Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu berkata gempa bumi itu menjejaskan beberapa wilayah termasuk Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adıyaman, Adana, Diyarbakır, Kilis, dan Sanliurfa.
“Pasukan penyelamat kami telah dikerah ke wilayah itu,” katanya.
Turkiye mengeluarkan amaran gempa bumi tahap empat dan turut meminta bantuan antarabangsa.
AFAD menyiarkan kenyataan memaklumkan: “Susulan perbincangan dengan Kementerian Luar Negara, bantuan antarabangsa diperlukan untuk misi mencari dan menyelamat melalui ERCC (Pusat Penyelarasan Tindak Balas Kecemasan).
Sumber – BERNAMA