“Pas sedang bersiap sedia untuk menggerakkan misi kemanusiaan berikutan kejadian gempa bumi yang melanda Turkiye yang akan dikoordinasi (oleh) PasRelief,” itu kata Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi sejurus berlakunya insiden berkenaan.

Menurut beliau Pas sedang melakukan persiapan untuk menggerakkan misi kemanusiaan ke Turkiye ekoran kejadian gempa bumi yang meranapkan sebahagian Turki dan Syria.

PasRelief yang merupakan salah satu entiti Pusat Bantuan Kemanusiaan Antarabangsa parti itu akan bertindak sebagai Pusat Koordinasi Bantuan Bencana untuk menerima segala bentuk sumbangan dan bantuan bagi menjayakan misi tersebut.

“Sama-samalah kita menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye. Semoga Turkiye dan warganya dilindungi dan dirahmati ALLAH SWT,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di Facebook pada kelmarin.

Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut menzahirkan ucapan takziah atas musibah yang melanda negara itu.

“Pas merakamkan takziah buat Turkiye dan warganya di atas kejadian gempa bumi yang melanda selatan Turkiye.

“Dilaporkan kekuatan gegaran gempa bumi yang melanda Turkiye turut dirasai sehingga ke Syria dan Lubnan.

“Kejadian gempa bumi tersebut juga mengakibatkan banyak kemusnahan harta benda, bangunan dan kediaman di wilayah-wilayah yang terkesan akibat kejadian tersebut seperti di Gaziantep, Osmaniye, Malatya, Adiyaman, Diyarbakir, Adana, Kilis dan Sanliurfa,” katanya.

Tamat