Tahniah buat rakyat Kedah yang kini berjaya memiliki geran tanah setelah sekian lama mengusahakan tanah berkenaan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya berbesar hati dapat menjadi pemudah buat rakyat negeri jelapang padi itu selepas ianya tergantung selama empat dekad.

“Rakyat setidak-tidaknya bukan menjadi penumpang di bumi tumpah darahnya. Sekurang-kurang dia ada sekeping geran tanah untuk diwariskan kepada anak-anak dan isteri setelah dia tiada nanti,”.

“Insya-Allah, dengan komitmen kerajaan negeri ini, tidak akan ada lagi penduduk di mana-mana bahagian dalam negeri kedah yang berasal, membesar, berbudaya dan bergaul di bumi negeri itu yang tidak ada tanah untuk mendirikan rumah.

Tidak kira sesiapa sahaja anak Kedah, mereka akan mendapat hak yang dijanjikan oleh undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Namun begitu wujud kes yang mana kini dikira mencabar kedaulatan negara apabila tanah hutan simpan serta tanah rizab Melayu dijarah sewenang-wenangnya di Pahang untuk tanaman musang king dan ianya mendapat restu DAP.

Terbaru lebih 500 penceroboh tanah haram telahpun berhimpun bersama Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui dan ADUN Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji kononnya mahu menegakkan benang basah bagi menjalankan negosiasi untuk secara haram untuk membolot kekayaan negara.

Ustaz Aire Roslan, Ketua Pemuda PAS Pahang kesal melihat pola peningkatan jumlah penceroboh yang besar bersama sokongan wakil rakyat DAP dalam kerajaan negeri ini adalah amat membimbangkan.

“Cukup melampau kini apabila Ahli Parlimen DAP itu juga secara terbuka telah meminta kerajaan Pahang bertimbang rasa terhadap nasib pekebun durian Musang King di Raub.

“Lebih malang apabila DAP kini lupa asal usul mereka sebagai penceroboh tanah kerajaan semakin bersikap keras kepala,” katanya.

Sedangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini telah menasihatkan pekebun durian Musang King di Raub supaya menimbang semula permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuantan.

Menurutnya beliau setakat ini belum ada lagi khabar berita daripada UMNO Pahang berkenaan sebarang tindakan bagi melarang sebarang perbuatan haram pihak peladang haram yang mendapat sokongan DAP.

“Sekarang kita tanya pula UMNO apakah pendirian yang akan diambil oleh UMNO terhadap isu pencerobohan tanah di Pahang apabila DAP semakin lantang menunjukkan sokongan kepada peneroka tanah haram itu?

“Ironinya tindakan tegas kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri itu kini ditentang oleh DAP secara jelas sedangkan UMNO dan DAP sama-sama berada di dalam kerajaan campuran,” katanya.

Aire Roslan berkata pertembungan antara dua parti ini memang sudah dijangka.

“Bukankah ini yang dimaksudkan oleh Timbalan Presiden UMNO tentang “DAP tidak bermuka-muka” dan “Kita memang kenal pendirian mereka”? soalnya dengan nada tegas.

Mungkinkah kehendak DAP lebih utama daripada tanah negeri Pahang dan maruah UMNO Pahang?

Tamat

Advertisement