“Membawa masuk pakar HDB dari Singapura untuk menasihati KPKT bukanlah satu penyelesaian kepada masalah utama berkaitan soal perumahan di Malaysia,” itu kata tegas Bendahari PAS Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Menurut beliau itu bukanlah penyelesaian sebenar kepada masalah perumahan yang berlaku kini, ini kerana membawa HDB masuk hanyalah umpama memberikan campur tangan luar ke dalam negara.
KPKT perlu melihat secara langsung masalah utama yang berlaku iaitu rakyat marhean tidak mampu memberi rumah mewah yang dijual pemaju.
Manakan tidak rumah yang dibina bukanlah seperti keperluan rakyat, tetapi rumah mewah yang hanya mampu rakyat marhean mimpikan dalam tidur mereka akhirnya rumah berkenaan kekal tidak terjual sehingga kini.
“Melihat keadaan ini menjadi semakin parah kini berdasarkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2021, nisbah harga rumah kepada pendapatan di Malaysia ialah 4.7 dengan median harga rumah pada tahun 2020 ialah RM295,000 manakala median pendapatan tahunan rakyat Malaysia pada tahun 2020 ialah RM62,508.
“Pendapatan yang tidak mencukupi dan tahap hutang rakyat Malaysia yang tinggi adalah dua punca yang menyumbang kepada faktor ketidakmampuan memiliki rumah.
“Faktor tersebut terjadi apabila harga rumah meningkat lebih cepat daripada pendapatan. Daripada tahun 2014 sehingga 2020, pendapatan meningkat hanya pada kadar 2.1% berbanding harga rumah pada kadar 4.1%.
“65% bakal peminjam pula sudah mempunyai hutang yang sangat banyak apabila mengambil pinjaman kereta atau pinjaman peribadi kemudian mengehadkan kemampuan mereka untuk membuat pinjaman baru untuk membeli rumah,” katanya.
Menurut beliau rumah mampu milik juga kini sukar didapati kerana pemaju hanya menumpukan perumahan jenis elit bagi mengaut keuntungan berganda.
“Bekalan rumah mampu milik juga tidak mencukupi. Jika rumah mampu milik adalah di bawah harga RM300,000 satu isi rumah itu perlu memiliki pendapatan sekitar RM100,000 setahun atau RM8,333 sebulan.
“Hanya ada 36% unit perumahan yang dilancarkan setakat tahun 2021 berharga RM300K ke bawah sedangkan 76% isi rumah di Malaysia memiliki pendapatan RM8,333 ke bawah,” katanya dengan tegas.
Menurut beliau kerajaan perlu penyelesaian yang lebih menyeluruh dan berpijak di bumi nyata Malaysia. Nasihat orang luar yang tidak kena pada konteks rakyat Malaysia mungkin akan membawa lebih banyak parah dari ubat kepada masalah di Malaysia.
Sementara itu, Penyelidik Institut IRIS, Fahmi Bahrudin berkata, adalah bukan menjadi keperluan kerajaan bagi mendapatkan kerjasama HDB.
““Tiada keperluan untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapatkan kepakaran HDB. Keperluan yang ada sekarang adalah untuk atasi masalah perumahan di bandar yang padat seperti di Lembah Klang,” katanya.
Tamat