“Itu adalah suatu fitnah dan pembohongan…tak apa kita akan ambil tindakan sewajarnya,” itu amaran keras yang dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau amaran itu buat mereka yang sengaja tuduhan beliau terbabit rasuah, khususnya berhubung dakwaan memberikan kontrak bernilai RM1 bilion kepada menantunya.

“Mereka melemparkan tuduhan bukan-bukan, katanya saya seleweng RM600 bilion…ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata. Lepas itu dah tukar RM530 bilion, RM90 bilion, RM45 bilion dan selepas itu, RM300 juta.

“Kalau dari segi undang-undang, ini adalah fitnah. Saya belum kata nak ambil tindakan undang-undang sebab saya nak beri peluang kepada Perdana Menteri baharu.

“Satu sen, wallahi, pun tak ada. Apa disebut itu adalah pakej rangsangan, bukan untuk kita dapat kontrak,” katanya.

Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan membekukan sejumlah pegawai tinggi kementerian, yang didakwa dilakukan selepas kerajaan baharu mengambil alih.

Ia selepas Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah dalam perbahasannya dan mendakwa, beliau difahamkan kira-kira 20 ketua jabatan, termasuk Ketua Setiausaha ketika ini dibekukan tugas.

“Penjawat awam ini bersikap profesional, kenapa kita nak bekukan mereka?

“Jawatan tertinggi, Ketua Setiausaha Perbendaharaan belum lagi diisi. Bagaimana kerajaan nak jalankan kerja? Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), yang menjaga perkhidmatan awam dan pelantikan, kenapa buat begitu?

“Sebagai penjawat awam, ada proses dan prosedur mereka. Jika mereka lakukan kesalahan, mereka boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin, bukan dibekukan dan (jawatan) tidak diisi.

“Jadi, yang jadi menteri, siapa nak bantu? Takkan anak sendiri yang duduk dalam pejabat nak bantu? Apa pengalamannya? Tidak tahu apa-apa pun,” katanya.

Tamat