“Adakah Yang Berhormat Ledang mengetahui sekarang ini Kementerian Pendidikan (KPM) menghalang seluruh Ahli Parlimen Pembangkang untuk masuk memberi bantuan di sekolah-sekolah, termasuk sekolah saya di daerah Sik,” itu pertanyaan daripada Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurutnya beliau kesal apabila dihalang untuk masuk ke kawasan sekolah bagi tujuan memberi bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk kegunaan sekolah.

Semakin pelik kerajaan baru ini, apabila Ahli Parlimen yang bertugas nak memberi bantuan pun dihalang. Sedangkan memberi bantuan pendidikan kepada sekolah itu adalah amanah sebagai ahli Parlimen.

Tarmizi berkata, tindakan itu tidak selari dengan hasrat untuk bersama membangunkan sistem pendidikan di sekolah.

Beliau berkata demikian semasa mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) di Dewan Rakyat, hari ini.

“Sebelum ini, sekolah-sekolah di Sik dapat bantuan daripada Ahli Parlimen berjumlah RM20,000 hingga ke RM30,000 untuk PIBG untuk kegunaan baik pulih kelas dan sebagainya.

“Hari ini kami hendak masuk, lepas pergi pagar sekolah pun tidak dibenarkan, jadi apa maksud hendak beri pendidkan yang luas kepada rakyat kita?” soalnya.

Justeru katanya, jika situasi sedemikian berlaku sukar untuk pihaknya membantu dalam membangunkan sistem pendidikan sekolah dan mangsa daripada tindakan itu tentunya adalah pelajar sekolah sendiri.

Tamat

Advertisement