“Bukankah ini merupakan sebahagian manifesto Kita Boleh PH PRU15 yang lepas? Sudah lupa ke?” itu antara hantaran FB Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Hantaran FB itu dilihat membangkitkan rasa kurang senang terutamanya dikalangan pimpinan PH yang dilihat sudah melupakan janji manifesto mereka dahulu.
Ia berkenaan pemansuhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) didakwa merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Merujuk kepada manifesto tersebut, di bawah tajuk Pengampunan Hutang PTPTN Bersasar, PH berjanji untuk melaksanakan Program Pemansuhan Hutang Bersasar Khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40.
Langkah tersebut adalah untuk mengatasi masalah pinjaman pendidikan tidak munasabah dalam kalangan siswa termasuk keberhutangan PTPTN.
Manifesto PH turut menyatakan, jadual pembayaran semula PTPTN pula akan dilaksanakan berasaskan gaji bagi graduan baharu bermula RM4,000 dengan peratusan meningkat mengikut gaji.
Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu pemansuhan pinjaman PTPTN dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Wan Ahmad Fayhsal perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana membuat kenyataan fitnah terhadap PH.
Tamat